BILA ABAH KENA STROKE - PENGALAMAN PERTAMA DI MANA SEGALANYA BERMULA

Dah lama saya nak tulis entry ni. Tapi masih belum ada kekuatan. Ini pun, baru menaip tajuk sahaja dah berguguran air mata. Walhal dah 9 bulan peristiwa ini terjadi. Sudah 9 bulan kami sekeluarga mengharunginya. Tapi hati tetap tak kuat. Air mata tetap gugur. Bila Abah; lelaki yg membesarkan kami adik-beradik, lelaki yg selama ini kami hormati & geruni kerana ketegasan beliau, lelaki yg juga selama ini memanjakan kami dengan apa sahaja barang atau makanan kegemaran kami diserang stroke pada 15 Disember 2014 lalu.

tanda-tanda stroke


ABAH YG KAMI KENAL

Berpuluh tahun Abah memegang jawatan sebagai Guru Disiplin di sekolah rendah. Di mana-mana sekolah yg Abah pindah, di situ Abah akan dilantik menjadi salah seorang guru disiplin. Abah garang & tegas pada murid-muridnya. Pantang ada kesalahan disiplin, memang mengadap muka Abah lah jawabnya. Abah tak perlu menengking-nengking. Abah tenung sahaja muka, mesti orang dah boleh menangis.

Masa kecik dulu selalunya Mama yg mengajar saya mengaji; dari Muqaddam sampailah khatam Al-Quran. Tapi, dalam sebulan tu biasanya mesti ada seminggu yg Abah yg kena ajar kami mengaji. Masa tu saya tak faham kenapa. Rupanya kes 'bendera Jepun'. Haha.. Dan setiap kali Abah ajar mengaji itulah WAJIB saya menangis. Padahal Abah tak rotan pun. Abah tak pukul pun. Cukup sekadar Abah tegur kesalahan bacaan yg sedikit sahaja, dengan suara Abah yg garau & tegas tu, saya dah berjurai-jurai air mata.

Tapi sebenarnya Abah seorang yg kelakar. Semua sepupu sepapat, adik-beradik & ipar duai Abah tahu. Banyak cerita kelakar yg saya dapat daripada Abah; baik dalam bahasa Melayu ataupun bahasa Jawa. Abah suka mengusik. Abah suka bergurau senda. Abah suka bawa kami jalan-jalan naik motor keliling kampung. Abah suka belikan semua makanan kegemaran kami. Bila malam, Abah akan ajak saya & adik (masa kecik-kecik saya 2 beradik je) sama-sama baring depan televisyen menonton gusti selepas kami siapkan homework.

Abah tak selalu memuji. Abah akan tegur kekurangan, seolah-olah mencabar anak-anaknya untuk memperbaiki kesilapan. Bila masuk sekolah menengah & universiti, keputusan saya selalunya 'cukup-cukup' makan sahaja. Bila keluar result, menggeletar lutut nak dengar komen & bebelan Abah. Takut. Bukan takut apa, takut sebab tahu diri sendiri buat silap. belajar main-main, sedangkan Abah & Mama dah berhabis untuk jadikan kami orang berjaya.


PADA 'HARI ITU'

15 Disember 2014 (Isnin). Saya masih dengan rutin harian biasa sebagai ibu & isteri. Petang itu, lebih kurang jam 5 petang saya dapat panggilan dari Mama; mengatakan Abah mengalami kemalangan. Waktu itu Abah sudah dibawa ke Klinik 1 Malaysia berhampiran kawasan kediaman mereka. Katanya mujur ada jiran yg berhampiran kebetulan berada di tempat kejadian. Klinik tak mampu berbuat apa-apa waktu itu. Abah menunjukkan tanda-tanda diserang stroke! Abah tak bermaya untuk berdiri, mulut Abah mulai senget sehingga kata-katanya kurang jelas dan anggota kiri badan Abah sudah tak berfungsi. Allahuakbar..

Abah perlu dihantar ke Hospital Daerah berdekatan. Tiba di hospital jam 7 petang. Malangnya, hospital daerah berdekatan di mana mereka tinggal tidak mampu membuat MRI untuk membuat pemeriksaan lanjut sekiranya terdapat darah beku (blockage) di dalam otak atau mana-mana salur darah Abah. Jam 8 malam, Abah dibawa ke hospital besar di daerah lain untuk pemeriksaan MRI. Alhamdulillah, tiada sebarang blockage didapati dalam seluruh otak & badan Abah. Jam 1 pagi, Abah dihantar kembali ke hospital daerah berdekatan dan dimasukkan ke wad biasa. Waktu itu Abah dah mula tidur seolah-olah tidak sedarkan diri. Doktor kata kesan terlalu penat akibat kemalangan. (Waktu itu doktor belum mengesahkan Abah stroke).


PENGALAMAN PERTAMA

Saya bertolak dari Johor Bahru sekitar jam 9 malam. Kalut, kusut, kabut, fikiran kosong - semua ada dalam kepala saya. Siapkan barang-barang keperluan diri, suami & anak-anak pun mana yg tercapai je. Inilah pengalaman pertama saya menghadapi situasi ini. Pengalaman pertama berhadapan dengan saat-saat di mana saya mungkin kehilangan seorang insan yg sangat saya sayang. Pengalaman pertama balik kampung tanpa kesempatan berfikir apa yg perlu dibawa. Pengalaman pertama dunia sekeliling saya seolah-olah sunyi tak bersuara - hanya wajah Abah & Mama yg ada dalam fikiran saya. Saya lupa kebisingan anak-anak saya. Pengalaman pertama saya betul-betul memikirkan apa yg perlu saya lakukan untuk membantu Abah & Mama - sebab selama ini mereka masih bekerja (kedua-duanya guru) dan sentiasa kelihatan lebih sihat dari saya sebab mereka berdua tidak ada sebarang penyakit kronik. Cuma ABAH MEMANG KUAT MEROKOK.

Dan inilah pengalaman pertama saya menatap wajah tegas, garang & penyayang Abah terlantar tak bermaya di atas katil hospital. Saya sampai di hospital jam 4 pagi. Dengan hati yg cuba saya kosongkan (sebab tak nak menangis), saya masuk ke wad dan melawat Abah di katilnya. Abah tidur.

Saya cuba kejut, tapi Abah terlalu lena.
Saya cium wajah Abah.
Saya peluk Abah.
Sambil menahan airmata supaya tidak gugur. Sebab saya perlu kuat - untuk Mama, untuk adik-adik (saya anak sulung) & untuk anak-anak saya; cucu Abah.

Allahuakbar.
-Tamat Part 1-


cara membantu pesakit stroke
Kenangan Abah & Mama sewaktu mengerjakan umrah - Mac 2014

*Saya takkan sertakan apa-apa gambar berkaitan dengan kisah stroke ini walaupun semuanya tersimpan kemas dalam telefon bimbit saya*

4 comments:

  1. Memang sedih kalau orang tersayang kita alami penyakit. Kalau boleh biarlah mereka sihat-sihat belaka.

    ReplyDelete
    Replies
    1. betul.. rasa macam nak ada dengan mereka 24 jam..

      Delete
  2. Baru baca kisah akak ni..sobs.sobs... pastinya sayu bila berubahnya fizikal insan yg kita kenal & sayang

    ReplyDelete
  3. Sama macam pengalaman saya, masa arwah ayah tiba2 kena leukimia. Daripada gagah terus lemah jadinya. Sayu..

    ReplyDelete

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...