Baby Genius: Susu Ibu Mampu Tingkatkan Kepintaran Bayi

Rencana oleh : Sim Xiu Xing (Mahasiswa Sains Pembangunan UKM)
Sumber

            Mengapakah para ibu digalakkan untuk menyusu bayi dengan susu badan dan bukannya susu tepung ataupun susu lembu? Membuat persediaan untuk menyambut kelahiran bayi anda adalah sesuatu yang menggembirakan dan ia adalah masa yang sangat mencabar. Ibu harus memberi pertimbangan kepada penyusuan susu ibu kerana ia memberi kebaikan kepada ibu dan anak. Kita semua digalakkan memberi susu ibu sepenuhnya sehingga bayi berumur 6 bulan untuk mendapatkan segala kebaikan penyusuan susu ibu dan diteruskan sehingga bayi berumur 2 tahun. Dalam masa pemberian susu ibu sepenuhnya bermaksudlah bayi itu tidak diberi makanan atau minuman tambahan yang lain selain daripada susu ibu.



Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan bayi, susu pertama kental berwarna kekuningan dan ia dikenalikan sebagai kolostrum. Khasiatnya amat tinggi kerana kandungan proteinnya adalah tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia juga mengandungi antibodi (immunoglobulins) yang tinggi serta lebih sel darah putih (leucocytes) yang mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema, bronkitis dan radang paru-paru.

Tambahan pula, susu ibu juga mengandungi nutrien tertentu yang amat kritikal untuk perkembangan otak dan ia membantu dalam meningkatkan kepintararan bayi. Dua kajian terbaru Cambridge di England dan Flinders Australia telah membuktikan bayi yang disusui badan, kecerdasan IQnya mampu mencecah tahap tujuh hingga 10 mata melebihi IQ biasa. Ia juga memberi peluang kepada ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya dan meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak kerana sewaktu menyusu bayi, bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Bayi akan lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih ibu dan bayi akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibunya dalam proses penyusuan ini.

Selain itu, terdapat juga kebaikan terhadap ibu yang menyusui bayi sejak kelahiran anak mereka. Antaranya ialah membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin. Tambahan pula, ia membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat dan mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari. Malahan, kelebihan yang seterusnya ialah ia merupakan satu cara merancang kehamilan yang ideal secara tidak langsung kerana penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama 6 bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Oleh itu, 99 peratus kehamilan dapat dielakkan.

Menyusukan anak adalah tugas yang murni, penting dan istimewa bagi seorang ibu. Pada masa ini, kesihatan bayi dan ibu dalam negara-negara yang membangun mendapat perhatian yang penting. Yang dirisaukan ialah banyak ibu di bandar dan juga sebahagian di luar bandar tidaklah mementingkan lagi susu bagi anak mereka. Di negara-negara barat yang maju, keadaan menunjukkan ibu-ibu sudah memberi semula susu bagi anak-anak mereka tetapi di negara-negara membangun seperti Malaysia, ibu-ibu lebih suka memberi anak-anak susu botol daripada susu mereka sendiri.

Mengapakah perkara sedemikian terjadi? Maka, faktor yang menghalang penyusuan adalah disebabkan kesakitan puting susu. Pada hari permulaan, ibu mungkin berasa sakit tetapi setelah susu mengalir, kesakitan ini akan berkurangan. Terdapat sesetengah ibu yang puting susunya tersorok atau tidak dapat menegak untuk bayi menghisap, oleh itu bayi akan menghisap kulit hitam sekeliling puting dan mengakibatkan perlukaan kecil. Maka, ibu harus menarik putingnya semasa hamil 8 bulan sebagai persediaan. Faktor seterusnya ialah bengkak susu yang disebabkan jangkitan kuman ataupun takungan air susu. Jangkitan kuman dalam buah dada mengakibatkan buah dada bengkak, hangat dan sakit. Ia bolehlah dirawat secara memakan ubat yang diberikan oleh doktor dan ibu boleh membasuhnya dengan menggunakan air suam. Selain itu, sebab-sebab yang lain mungkin disebabkan sikap ibu tersebut. Misalnya, malu menyusukan anak, tiada susu dalam badan, anak tidak mahu menyusu, ketakutan merosakkan bentuk badan, malas menyusukan anak kerana kena bangun pada waktu malam dan lain-lain lagi. Maka, cara untuk memperbanyakkan susu badan ialah ibu bolehlah ambil sebatang lobak putih bersaiz sederhana dan cuci bersih. Kemudian potong kecil-kecil dan kisar sehingga halus. Selepas itu campurkan dengan segelas air suam dan diminta minum sebanyak 2 kali sehari.

Sehingga setakat ini, kesedaran untuk penyusuan badan adalah masih rendah berbanding dengan negara lain. Kempen menyusu badan telah diadakan di hospital seluruh negara untuk memupuk ibu-ibu menyusukan bayi-bayi lebih sihat pada masa akan datang. Misalnya, Salah satu strategi untuk menggalakkan penyusuan susu ibu di Malaysia adalah melalui pelaksanaan Inisiatif Hospital Rakan Bayi. Ia merupakan salah satu program antarabangsa yang dilancarkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan UNICEF. Program ini bertujuan untuk mengalakkan semua hospital dan pusat bersalin melaksanakan “10 Langkah Ke Arah Penyusuan Susu Ibu Yang Berjaya”. Di samping itu, WABA (World Alliance for Breastfeeding Action) ditubuhkan iaitu satu rangkaian global untuk pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang mempunyai matlamat yang sama. Ia bertujuan untuk menggalak, melindungi dan menyokong penyusuan susu ibu. WABA percaya penyusuan susu ibu adalah hak setiap ibu dan anaknya. Pada masa ini, NGO adalah kuasa penggerak di belakang kumpulan sokongan penyusuan susu ibu, berusaha melaksanakan kod antarabangsa, pertukaran maklumat dan latihan untuk pekerja dalam sektor kesihatan. Bagi mencapai matlamatnya, WABA menubuhkan 9 pasukan khas untuk menyelaras gerakan sosial, pertukaran maklumat, penyelidikan, amalan penjagaan kesihatan, wanita dan kerja, mematuhi kod, pendidikan dan latihan serta kumpulan sokongan ibu.

Penyusuan susu ibu tiada bandingan dengan susu tepung mahupun susu lembu. Tiada gambaran yang sehabis murni dan suci daripada seorang ibu yang sedang menyusukan anak kecil dengan memeluk anak itu rapat di badannya. Dengan memeluk anak kecil, dan mengalirnya air susu dari ibu kepada anak, maka kasih sayang itu turut mengalir. Kesimpulannya, dengan penyusuan itu, semua kemahuan asas anak-anak dapat disempurnakan dan anak akan berpeluang hidup dengan baik dan teratur semasa dewasa kelak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...